Projek RTP Bantu Penduduk Kampung Kuala Segan, Kampung Kemunting
BINTULU: Dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Kampung Kuala Segan dan Kampung Kemunting dijangka memberi manfaat kepada penduduk menerusi penyediaan kemudahan komuniti serta usaha mengurangkan risiko banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, projek pertama melibatkan pembinaan Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Segan bernilai hampir RM200,000 bagi menggantikan bangunan lama yang telah usang.
Menurut beliau, rumah JKKK baharu itu dibina menggunakan struktur konkrit dan ditinggikan kira-kira tiga kaki memandangkan kawasan berkenaan sering terdedah kepada banjir.
“Rumah JKKK ini akan menjadi pusat aktiviti masyarakat dan pada masa sama boleh digunakan sebagai lokasi perlindungan sementara sekiranya berlaku bencana seperti banjir atau kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau pelaksanaan projek RTP di Kampung Kuala Segan dan Kampung Kemunting pada Isnin.
Sementara itu, Iskandar berkata, projek kedua melibatkan pembinaan parit sepanjang 90 meter di Kampung Kemunting dengan kos kira-kira RM100,000 bagi membantu mengurangkan masalah banjir yang sering dihadapi penduduk.
Katanya, projek tersebut dilaksanakan atas permintaan penduduk dan Ketua Kaum kampung berikutan kedudukan beberapa rumah di kawasan rendah yang mudah terjejas ketika hujan lebat dan air pasang.
Menurut beliau, reka bentuk parit berkenaan akan mengambil kira keadaan muara sungai dengan pembinaan secara berperingkat bagi memperlahankan aliran air ke kawasan kediaman.
Tambahnya, kedua-dua projek itu dilaksanakan menerusi peruntukan RTP beliau bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar.
“Melalui projek seperti ini, kita berharap dapat mengurangkan impak banjir terhadap penduduk selain menyediakan kemudahan yang lebih selesa untuk kegunaan komuniti,” katanya.- EDISI UKAS