UK Komited Perkukuh Kerjasama Strategik Dengan Sarawak
KUCHING: United Kingdom (UK) komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia khususnya Sarawak serta negara-negara ASEAN dalam pelbagai bidang strategik termasuk ekonomi, perdagangan dan pelancongan.
Ahli Parlimen United Kingdom merangkap Utusan Perdagangan Perdana Menteri United Kingdom ke Indonesia dan ASEAN, Naz Shah berkata, rantau ASEAN mempunyai kepentingan besar kepada UK dan hubungan kerjasama sedia ada akan terus diperkasakan.
Menurut beliau, Sarawak memiliki potensi besar sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa menerusi kekayaan warisan, kepelbagaian budaya dan keunikan alam semula jadinya.
“Kami mahu memperkukuh hubungan dengan Malaysia dan seluruh rantau ASEAN. Rantau ini amat penting kepada United Kingdom dan kami komited untuk terus meningkatkan hubungan serta kerjasama dengan negara-negara di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Muzium Budaya Borneo (BCM), di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan BCM sebagai institusi bertaraf dunia yang berjaya mempamerkan kekayaan budaya Sarawak dan Borneo secara menyeluruh kepada masyarakat tempatan serta antarabangsa.
Katanya, muzium tersebut bukan sahaja menampilkan sejarah dan warisan masyarakat Sarawak, malah menjadi platform penting dalam memperkenalkan identiti serta kepelbagaian budaya negeri ini kepada dunia.
“Muzium ini benar-benar memaparkan budaya negara ini, budaya Sarawak dan budaya rantau ini. Apa yang dipamerkan di sini sangat mengagumkan dan memberi kefahaman lebih mendalam mengenai masyarakat serta warisan yang dimiliki Sarawak,” ujarnya.
Menurut beliau, lawatan pertamanya ke Sarawak membuka perspektif baharu mengenai potensi besar negeri ini dalam sektor pelancongan berasaskan budaya, warisan dan alam semula jadi.
Katanya, keindahan Borneo yang unik serta kepelbagaian budaya dimiliki Sarawak merupakan aset bernilai tinggi yang mampu menarik lebih ramai pelawat antarabangsa, khususnya dari United Kingdom.
“Ini merupakan pengalaman yang amat bermakna dan saya mahu berkongsi pengalaman ini dengan masyarakat di United Kingdom supaya lebih ramai mengenali serta menghargai apa yang ditawarkan oleh Sarawak,” katanya lagi.
Beliau percaya pendedahan lebih meluas mengenai keunikan Sarawak mampu meningkatkan minat pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke negeri ini, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Lawatan tersebut turut mencerminkan pengiktirafan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap BCM sebagai ikon pelancongan budaya Sarawak serta platform strategik dalam memperkenalkan warisan dan identiti negeri ini kepada masyarakat global.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan serta para pegawai kanan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.-EDISI UKAS