Papan Tanda Baharu BGS Angkat Nilai Warisan Seberang Hilir
KUCHING: Pemasangan papan tanda baharu di Kampung Boyan, Kampung Gersik dan Kampung Sourabaya (BGS) bukan sekadar penanda lokasi, malah menjadi simbol identiti warisan yang menyerlahkan keunikan sejarah, budaya dan kebanggaan komuniti Seberang Hilir.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menerusi program Green Kampung Heritage Beautification and Cleanliness itu bertujuan memperindah landskap kampung warisan dengan elemen yang lebih tersusun, menarik dan mencerminkan nilai sejarah serta budaya masyarakat setempat.
Pemasangan papan tanda tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai penanda lokasi, malah menjadi lambang usaha berterusan dalam memelihara warisan Kampung Boyan, Kampung Gersik dan Kampung Sourabaya yang terkenal dengan sejarah serta keunikan budaya masyarakat Melayu di Seberang Hilir.
Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Projek Partisipasi Awam yang diadaptasi daripada amalan terbaik di Singapura dengan penglibatan aktif komuniti dalam setiap peringkat pelaksanaan termasuk perancangan, pembangunan dan penyelenggaraan.
Selain memperkukuh identiti kampung warisan, inisiatif itu turut menyokong pembangunan pelancongan komuniti dan ekonomi setempat, selaras dengan usaha menjadikan kawasan Seberang Hilir sebagai destinasi warisan yang lebih berdaya saing dan berdaya huni.
Majlis perasmian Decorative Signage Kampung Boyan, Kampung Gersik dan Kampung Sourabaya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Penasihat Organisasi Kebajikan dan Sosial Hilir (OKSHE), Datu Dr Sabariah Putit, Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah, Penghulu Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS), Ja’afar Abong, wakil Kejiranan Mesra (KJM) BGS serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Seberang Hilir.- EDISI UKAS