UiTM Sarawak Lahirkan Graduan Berdaya Saing, Sokong Pembangunan Modal Insan Negeri
KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berdaya saing dan memenuhi keperluan industri menerusi pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan bagi memperkukuh kualiti pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, usaha berterusan universiti itu telah membuahkan hasil membanggakan apabila Laporan Kadar Bekerja Graduan UiTM 2025 merekodkan kadar bekerja graduan sebanyak 94.5 peratus manakala kadar kebolehpasaran graduan mencapai 94.6 peratus.
Menurut beliau, pencapaian tersebut turut menyaksikan UiTM diiktiraf sebagai Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan universiti dalam menyediakan graduan yang relevan dengan kehendak pasaran pekerjaan semasa.
Beliau berkata demikian sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-104 Sidang Pertama yang berlangsung di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 1,078 graduan UiTM Cawangan Sarawak diraikan pada istiadat konvokesyen kali ini, manakala seramai 273 graduan menerima ijazah sarjana muda dan diploma pada sidang pertama melibatkan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Sukan dan Rekreasi serta Akademi Pengajian Islam Kontemporari.
Tambah beliau, UiTM Sarawak turut memperkukuh jaringan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak serta institusi pengajian tinggi antarabangsa termasuk National Formosa University (NFU), Taiwan dan Universiti Muhammadiyah Surakarta, Indonesia bagi meningkatkan kualiti pendidikan serta pendedahan global kepada pelajar.
Selain itu ujarnya, pelbagai program antarabangsa dan pembangunan pelajar dilaksanakan termasuk program pertukaran budaya di China, latihan industri di luar negara serta aktiviti berteraskan kelestarian yang selari dengan aspirasi universiti untuk muncul sebagai institusi bertaraf dunia.
Di akhir ucapan, beliau menggesa para graduan agar terus menimba ilmu, memperkukuh integriti dan memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat, negeri dan negara.- EDISI UKAS