BANGI: Acara silat menyalakan harapan kontinjen Sarawak untuk merangkul pingat emas pertama pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas berjaya mara ke separuh akhir dalam dua kategori silat seni.
Gandingan Sofyan Syah Zainal dan Mohamad Syafiq Abdullah memastikan satu lagi gangsa dalam genggaman namun berpotensi untuk bertukar warna jika berjaya melepasi peringkat separuh akhir.
Mereka menyingkirkan pasangan Kedah, Danial Azam Zulkifli dan Danial Azim Zulkifli dalam kategori Ganda Putera di Dewan Seri Sarjana UNITEN hari ini untuk berdepan wakil Selangor di peringkat separuh akhir.
Ketika ditemuramah, Sofyan yang berasal dari Kuching melahirkan rasa gembira selepas berjaya menebus kekecewaan gagal di peringkat sama pada SUKMA 2024 di Sarawak.
“Alhamdullillah, impian saya untuk ke separuh akhir akhirnya tercapai. Pada SUKMA 2024, saya hanya sampai ke peringkat suku akhir.
“Untuk separuh akhir nanti, saya bersama Mohamad Syafiq akan memberikan persembahan yang lebih baik walaupun bakal berdepan saingan tuan rumah Selangor,” katanya ketika ditemuramah UKAS selepas perlawanan tamat.
Sarawak turut melangkah ke separuh akhir dalam kelas Solo Kreatif Puteri menerusi Nura'Isyah Ahmad Adam.
Beliau berjaya mengatasi cabaran peserta Pahang, Balqis Kirana Des Iskandar.
Sementara itu, jurulatih Sarawak Mohd Firdaus Rahmat ketika ditemui turut memuji persembahan atletnya namun menuntut persembahan yang lebih mantap pada aksi separuh akhir nanti.
“Kita tahu lawan mereka selepas ini sengit-sengit, setiap negeri akan mempersiapkan yang terbaik.
“Justeru, kita perlu beraksi dengan lebih baik dari sekarang demi mendapatkan pingat emas untuk Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, harapan skuad Regu Lelaki Sarawak untuk turut mara ke separuh akhir disekat pasukan Sabah.
Trio Mohamad Nur Azlisham Mohamad Ali, Suhaiqal Suhardie dan Wan Nazaiman Wan Nashikin akur tewas meskipun menampilkan persembahan terbaik. - EDISI UKAS