Belia Ingin Peluang Ekonomi, Pembangunan Bakat Terus Diperluas
KOTA SAMARAHAN: Golongan belia Sarawak berharap peluang kerjaya serta akses kepada pembangunan bakat dan ekonomi terus diperluas termasuk di kawasan pedalaman.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 mendapati golongan muda melihat penyediaan peluang pekerjaan, ruang mengetengahkan idea serta pembangunan di luar bandar sebagai antara aspek penting dalam memperkasa generasi muda di seluruh negeri.
Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Siti Maisarah Hazwani berkata lebih banyak peluang pekerjaan perlu diwujudkan untuk golongan belia, selain menyediakan platform yang membolehkan idea dan potensi mereka dikembangkan.
“Yang paling utama adalah kita memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan dan terutamanya kepada para belia,” katanya.
Menurutnya, golongan belia di institusi pengajian tinggi mempunyai pelbagai idea termasuk dalam bidang digital dan kaunseling, namun memerlukan ruang lebih luas untuk mengetengahkan serta merealisasikan idea berkenaan.
Sementara itu, Nuraisha Balqis berkata, peluang pekerjaan di Sarawak semakin meluas, namun belia perlu lebih proaktif mendapatkan maklumat mengenai perkembangan pasaran pekerjaan.
Bekas pelajar SMK Kota Samarahan itu turut berharap agar program dan aktiviti pembangunan belia terus diperluas ke kawasan pedalaman bagi memberi lebih banyak ruang kepada generasi muda luar bandar mengembangkan kebolehan serta bakat masing-masing.
“Kalau boleh perbanyakkan lagi aktiviti yang melibatkan macam di pedalaman, libatkan lagi belia-belia di Sarawak,” katanya.
Bagi pelajar iCATS University College, Brandon Mcclain, pembangunan sektor pertanian boleh diperkasa sebagai antara bidang yang memberi manfaat kepada penduduk dan belia di kawasan kampung.
Katanya, ilmu dalam bidang pertanian yang dipelajarinya mahu dimanfaatkan untuk membantu mengembangkan sektor berkenaan, khususnya dalam memperkasa golongan belia luar bandar.
“Saya mengikuti pengajian dalam bidang Agroteknologi yang memberi tumpuan kepada pertanian. Saya mahu terlibat secara lebih aktif dalam mengembangkan sektor pertanian, khususnya untuk membantu penduduk kampung dan golongan belia luar bandar,” katanya.
Brandon turut berharap menjelang 2030, lebih ramai belia di kawasan pedalaman dapat menikmati peluang dan pendedahan yang setara dengan golongan muda di bandar. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Mohd Hisyam Arif