Karnival Siburan Platform Ketengah Produk & Budaya Tempatan
SIBURAN: Karnival Siburan terus menjadi platform mengetengahkan produk, makanan dan budaya tempatan, selain membuka peluang kepada usahawan serta peniaga kecil menjana pendapatan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran karnival sejak 2024 itu turut membantu memperkenalkan Siburan kepada pengunjung dari luar kawasan.
“Kita mahu Siburan dikenali. Kita mahu produk tempatan Siburan dikenali. Kita mahu makanan dan budaya masyarakat Siburan diketengahkan.
“Dan yang paling penting, kita mahu rakyat tempatan menjadi penerima manfaat utama daripada perkembangan dan kemeriahan karnival ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Karnival Siburan 2026 di perkarangan Eastern Mall, di sini, pada Ahad.
Menurut Dato Sri Roland Sagah, sebanyak 28 gerai makanan dan minuman serta sembilan gerai barangan kering disediakan pada edisi tahun ini, sekali gus memberi peluang kepada peniaga tempatan memasarkan produk masing-masing.
Beliau berharap Karnival Siburan dapat terus berkembang sebagai acara tahunan yang mampu menarik pengunjung dari seluruh Sarawak, seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Siburan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Ranum Bari berkata, beberapa acara utama karnival terpaksa dibatalkan selepas mengambil kira keadaan kualiti udara dan jerebu demi keselamatan serta kesihatan orang awam.
Katanya, acara yang dibatalkan ialah Konsert Tanju di Ribo Jewa Buran, Bengkel Pemantapan KMKK dan JKKK, Battle of the Band, malam kemuncak Miss Siburan 2026 serta Siburan Carnival Fun Run.
“Kita perlu akur dengan keadaan dan arahan semasa. Walaupun beberapa program terpaksa dibatalkan, kita bersyukur kerana majlis perasmian masih dapat diteruskan,” ujarnya.
Hadir sama ADUN Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek serta Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong. -EDISI UKAS