Akses Perhubungan Lebih Baik, Urusan Harian Penduduk Langi Tuma Dipermudah
BALINGIAN: Penyiapan projek menaik taraf jalan ke Rumah Panjang Langi Tuma, Sungai Seturaang, di sini, bernilai RM300,000 memberi manfaat langsung kepada penduduk dengan menyediakan akses perhubungan yang lebih baik, selesa dan selamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penambahbaikan jalan berkenaan penting dalam memastikan penduduk di kawasan luar bandar menikmati akses perhubungan yang lebih selesa dan selamat.
Menurut beliau, kemudahan jalan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah memberi manfaat kepada aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat setempat.
“Penambahbaikan jalan ke rumah panjang bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah dapat meningkatkan akses kepada kemudahan serta aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat.
“Saya berharap kemudahan yang disediakan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Rumah Panjang Langi Tuma serta memberi keselesaan dalam urusan harian,” katanya selepas menyaksikan majlis penyerahan tapak projek berkenaan, di sini pada Isnin.
Abdul Yakub berkata, penyediaan infrastruktur perhubungan yang baik merupakan antara keperluan penting dalam menyokong perkembangan komuniti luar bandar, termasuk dari aspek mobiliti penduduk dan kegiatan sosioekonomi.
Beliau berharap kemudahan berkenaan dapat meningkatkan kelancaran dan keselamatan perjalanan penduduk Rumah Panjang Langi Tuma serta kawasan sekitarnya.
Hadir sama, wakil JKR Mukah, Yazid Muztaba, wakil Pejabat Daerah Mukah, Nur Hidayah Kassim dan Tuai Rumah Langi Tuma. -EDISI UKAS