Projek RTP Opar Terus Pacu Pembangunan Kampung Sebiris, Temaga Melayu
LUNDU: Pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar terus memberi manfaat kepada masyarakat setempat menerusi penyediaan kemudahan yang lebih selesa dan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan projek di Kampung Sebiris dan Kampung Temaga Melayu yang telah siap dan boleh dimanfaatkan oleh penduduk.
“Usaha meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan rakyat akan terus dilaksanakan sejajar dengan keperluan masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap RTP DUN Opar di kedua-dua kampung berkenaan pada Isnin.
Ketika berada di Kampung Sebiris, beliau menjelaskan bahawa projek yang siap itu merupakan fasa pertama pembangunan kemudahan di kampung berkenaan.
Menurutnya, pembangunan tersebut akan diteruskan dalam fasa seterusnya yang melibatkan penyediaan bumbung, pemasangan lampu serta kemudahan lain bagi memastikan fasiliti berkenaan dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh oleh masyarakat.
Beliau turut menggalakkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya terus mengemukakan permohonan pembangunan berdasarkan keperluan semasa penduduk.
Sementara itu di Kampung Temaga Melayu, Billy melahirkan rasa puas hati terhadap gelanggang futsal kampung berkenaan yang telah siap dibina dengan kualiti yang baik.
Beliau turut mengumumkan bahawa peruntukan sebanyak RM500,000 bagi pembinaan Dewan Masyarakat Kampung Temaga Melayu telah diluluskan dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
Selain itu katanya, beberapa lagi kemudahan termasuk masjid dan balai raya di kampung tersebut turut diberi perhatian untuk kerja-kerja naik taraf.
Menurut beliau, usaha pembangunan di Kampung Temaga Melayu perlu diteruskan secara berperingkat bagi memenuhi keperluan penduduk dan meningkatkan taraf kemudahan asas di kawasan berkenaan.
“Antara perkara utama yang turut diberi perhatian ialah penyediaan bekalan air bersih memandangkan penduduk kampung berkenaan masih bergantung kepada sistem bekalan air graviti,” jelas beliau -EDISI UKAS