Jabatan Pertanian Bantu Siti Nor Idayah Perbesarkan Perusahaan Agromakanan

UKAS  > Edisi-Utara >  Jabatan Pertanian Bantu Siti Nor Idayah Perbesarkan Perusahaan Agromakanan
0 Comments

JUMAAT, 2 APRIL 2021

LIMBANG: Selain RISDA, Jabatan Pertanian turut membantu Siti Nor Idayah Umno dalam memperkembangkan lagi perusahaan Agromakanan yang semakin mendapat tempat dan berupaya meningkatkan pendapatan. 

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, bantuan yang diberikan ialah oven dan peti penyejuk dengan kos sebanyak RM30,000. 

“Siti Nur Idayah juga ada menerima bantuan daripada RISDA dalam bentuk input seperti bangunan dan peralatan tetapi beliau merasakan bantuan tersebut belum mencukupi sebab itulah kita di Jabatan Pertanian membantu untuk membeli peralatan seperti oven dan peti penyejuk pada tahun 2019 dengan kos RM30,000. 

“Nampaknya dengan bantuan ini pendapatan beliau meningkat lebih kurang daripada RM1,000 sebulan ke RM5,000 sebulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam tempoh PKP sememangnya semua orang terjejas tetapi beliau masih juga mampu mendapatkan hasil dalam RM2,000 ke RM3,000 sebulan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Agromakanan (Pemprosesan Pelbagai Jenis Kek) di kediaman pemilik Perusahaan Agromakanan Siti Nor Idayah Umno di Kampung Tabahan pada Selasa. 

Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah, pihaknya akan membantu Siti Nor Idayah membesarkan premisnya sekarang ini dan berusaha mendapatkan sijil halal bagi membolehkan produknya dapat menembusi pasaran yang lebih luas lagi. 

Hadir sama Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jakaria Rambli, Pegawai Pertanian (Pengembangan) Amirul Fikri Jemali dan Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur. -EDISI UKAS