Kerajaan Fokus Selamat Nyawa Dan Kelangsungan Kehidupan Rakyat: PM

UKAS  > Edisi-Utama >  Kerajaan Fokus Selamat Nyawa Dan Kelangsungan Kehidupan Rakyat: PM
0 Comments

JUMAAT, 2 APRIL 2021

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan bersedia mengeluarkan peruntukan yang besar demi menyelamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara yang terkesan akibat COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan terpaksa mengambil langkah bagi mengimbangi nyawa rakyat dan kesan ekonomi yang menguncup kesan daripada penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Menurutnya, kerajaan pusat telah mengeluarkan dana di antara RM7 bilion hingga RM8 bilion untuk menyelesaikan masalah berkaitan COVID-19.

“Peruntukan yang disalurkan itu tidak termasuk dana untuk pembelian vaksin COVID-19 untuk rakyat di negara ini sekaligus menentukan supaya negara dan rakyat terselamat daripada musibah COVID-19.

“Saya sebelum ini telah mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Dato Sri Dr. Adham Baba untuk berunding segera dengan pembekal-pembekal vaksin COVID-19 seperti Pfizer, Sinovac, Sinofarm, Zenif dan yang terkini Johnson & Johnson bagi memastikan nyawa rakyat negara ini dilindungi dan dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan pada Jumaat.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio-Ekonomi Sarawak), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menambah, kerajaan telah membuat tempahan vaksin COVID-19 dalam kuantiti yang besar kerana tidak mahu mengambil mudah tetang kesihatan serta nyawa rakyat negara ini.

Jelas beliau, kerajaan juga sudah selesai membuat rundingan dengan mengikat kontrak bekalan vaksin COVID-19 dengan menempah lebih 150 peratus daripada jumlah populasi rakyat Malaysia.

“Kini kita juga telah bersedia untuk kembali beroperasi seperti sebelum ini dan kita boleh nampak cahaya di hujung terowong,” katanya. -EDISI UKAS