JPBB Bintulu Tambah 2 Lagi PKRC Bagi Menampung Jumlah Pesakit COVID-19

UKAS  > Edisi-Utara >  JPBB Bintulu Tambah 2 Lagi PKRC Bagi Menampung Jumlah Pesakit COVID-19
0 Comments

AHAD, 4 APRIL 2021

BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu akan menambah dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di bahagian ini.

Pengerusinya, Jack Aman Luat berkata, ini disebabkan dua lagi PKRC yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit COVID 19 di Bahagian Bintulu. 

“Kita bersetuju menjadikan Dewan Serbaguna Taman Sri Pelabuhan, Bintulu Port ini sebagai PKRC dan sebuah lagi hotel iaitu Kidurong Inn yang mempunyai 41 bilik,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan di Dewan Serbaguna Taman Sri Pelabuhan, Bintulu Port Sdn. Bhd pada Sabtu. 

Tambahnya lagi, Dewan Serbaguna Taman Sri Pelabuhan ini mampu menampung kira-kira 300 ke 350 orang pesakit. 

Jack Aman yang juga Residen Bahagian Bintulu menjelaskan, PKRC yang baharu ini akan beroperasi secepat mungkin setelah dilengkapi dengan segala keperluan. 

Dalam pada itu, Jack terus menyeru orang ramai agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh JPBB Bintulu yang bertujuan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan semua penduduk di bahagian ini. 

Hadir sama Duta Khas Perdana Menteri ke Rupeblik Rakyat Cina yang juga merupakan Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing, Pengarah Hospital Bintulu, Dr. Davis Johnraj, Timbalan Pengarah Hospital Bintulu, Dr Sivashunmugam a/l Sangaran, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili, Pengurus EPH Mohamed Ansari Mohd Syed Ahmad dan wakil Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Azlan. -EDISI UKAS