Projek RTP Rumah John Di Nanga Jempai Hampir Siap

UKAS  > Edisi-Tengah >  Projek RTP Rumah John Di Nanga Jempai Hampir Siap
0 Comments

ISNIN, 5 APRIL 2021

JULAU: Rumah John Kennedy di Nanga Jempai, Julau bakal berubah wajah selepas siapnya projek menaiktaraf rumah panjang tersebut di bawah pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2021.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat berkata, projek pemasangan jubin lantai rumah panjang 15 pintu itu menelan kos sebanyak RM100,000 kini hampir siap dan dilaksanakan mengikut jadual projek yang telah ditetapkan.

“Projek ini akan siap tidak lama lagi dan kita berharap kontraktor dapat menyiapkan projek dengan sebaiknya demi kepentingan penduduk rumah panjang,” katanya semasa meninjau perkembangan projek tersebut pada Ahad.

Sementara itu, Tuai Rumah John Kennedy merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya Rolland Duat yang telah meluluskan projek RTP untuk rumah panjangnya.

Pada program berasingan, Rolland Duat turut menyampaikan cek RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jeffery di Nanga Entabai untuk menjayakan program mereka pada tahun ini. -EDISI UKAS