Siapnya Ruang Parkir Kereta Dan Lampu Isyarat Pejalan Kaki Berjaya Redakan Kesesakan Lalu Lintas Di Kawasan SM Riam Miri

UKAS  > Edisi-Utara >  Siapnya Ruang Parkir Kereta Dan Lampu Isyarat Pejalan Kaki Berjaya Redakan Kesesakan Lalu Lintas Di Kawasan SM Riam Miri
0 Comments

ISNIN, 5 APRIL 2021

MIRI: Siapnya ruang parkir kereta dan lampu isyarat pejalan kaki ini telah berjaya meredakan kesesakkan lalu lintas di kawasan persekolahan Sekolah Menengah (SM) Riam dan perumahan di sekitarnya khususnya pada waktu punca.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, projek yang bermula pada penghujung tahun lepas itu telah siap sepenuhnya kini telah memberi manfaat kepada pelajar, ibu bapa dan sekolah. 

“Projek ini menelan kos sebanyak RM500,000 dan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak dalam membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas pada dan menyediakan kemudahan parkir kepada kakitangan sekolah. 

“Sebelum ini, banyak kenderaan berhenti di tepi jalan utama ketika menunggu anak-anak balik sekolah dan ini telah menimbulkan masalah kesesakkan lalu lintas yang serius.

“Dengan adanya tapak parkir kenderaan yang menampung jumlah 111 ruang ini, ianya akan dapat meredakan masalah kesesakkan lalu lintas ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Lampu Isyarat Pejalan Kaki dan Tempat Parkir Kereta Baru SM Riam Miri pada Isnin. 

Ujar Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, siapnya lampu isyarat pejalan kaki tersebut juga dapat menjaga keselamatan para pelajar, guru-guru serta pengguna jalan raya yang melintasi jalan raya untuk ke tempat letak kenderaan mereka.

“Selain kelancaran lalu lintas, unsur keselematan bagi para pelajar, kakitangan dan orang awam merupakan unsur yang paling penting harus dipertimbangkan dalam perlaksanaan projek ini,” ujarnya. 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Riam Road Secondary School (RRSS) Datuk Seri Law Kiu Kiong dan Jurutera Bahagian Miri Chong Chi Fam. -EDISI UKAS