Kerajaan Negeri Peruntuk RM90 Juta Untuk Sarawak Coastguard

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Kerajaan Negeri Peruntuk RM90 Juta Untuk Sarawak Coastguard
0 Comments

RABU, 7 APRIL 2021

KUCHING : Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM90 juta untuk membeli aset bagi kegunaan Pengawal Pantai Sarawak (Sarawak Coastguard).

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata peruntukan tersebut telah dibentangkan dalam Bajet 2020 pada 4 November 2019.

 “Hari ini kita dapat menyaksikan sebuah kapal dan 6 buah bot telah siap iaitu sebuah “catamaran” dan 6 buah bot “interceptor” dengan enjin berkuasa 1050 kuasa kuda setiap bot dan pada tahun ini, enam buah bot jenis interceptor akan beroperasi di   perairan Sarawak untuk menjaga keselamatan nelayan dan sumber asli maritim di sepanjang pantai negeri ini.”

Pembinaan beberapa buah lagi kapal ronda laju untuk meronda persisiran pantai sedang diurus secara tender terbuka oleh JKR” katanya semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Sarawak Coastguard di Tebingan Sungai Sarawak pada Rabu.

Tambah beliau, aset-aset tersebut juga sesuai digunakan untuk membantu rakyat semasa banjir besar dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Dalam pada itu juga, Ketua Menteri turut memberitahu Sarawak Coastguard akan menguatkuasakan undang-undang di bawah ordinan negeri antaranya ialah  State Fisheries Ordinance 2003, Forest Ordinance 2015, Wild Life Protection Ordinance 1998, National Parks And Nature Reserves Ordinance 1998 Dan Oil Mining Ordinance (OMO) 1958.

Jelas Ketua Menteri lagi, penubuhan Sarawak Coastguard juga membuktikan kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat. –EDISI UKAS