Pelaksanaan Ujian Calitan COVID-19 Untuk Pastikan Tiada Penularan Jangkitan Positif Dari Luar Bahagian Bintulu

UKAS  > Edisi-Utara >  Pelaksanaan Ujian Calitan COVID-19 Untuk Pastikan Tiada Penularan Jangkitan Positif Dari Luar Bahagian Bintulu
0 Comments

RABU, 7 APRIL 2021

BINTULU: Bahagian Bintulu telah mencatat kes aktif kedua tertinggi di negeri ini selepas Kuching apabila mencatat 597 kes aktif positif COVID-19 pada 5 April lepas. 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat, 80 peratus kes adalah dikesan melalui pengesanan kontak rapat, manakala 20 peratus terdiri daripada individu bergejala yang hadir sendiri ke pusat kesihatan untuk melakukan saringan. 

Katanya, untuk mengurangkan kadar kes positif COVID-19, JPBB Bintulu telah mewajibkan ujian calitan COVID-19 ke atas setiap individu yang ingin memasuki Bahagian Bintulu. 

“Sebab utama kita perketatkan keluar masuk ke Bahagian Bintulu kerana ia hampir sama dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika ini Bahagian Bintulu sudah pun menjadi zon Merah dan turut dikelilingi oleh zon-zon Merah. 

“Kita mahu menurunkan kadar jangkitan COVID-19 daripada perjalanan antara bahagian,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media JPBB Bintulu di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Selasa. 

Jelas Jack yang juga merupakan Residen Bahagian Bintulu langkah drastik ini dibuat bagi mengurangkan implikasi terhadap aktiviti ekonomi di Bintulu.

Ini kerana sekiranya pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ia akan memberikan impak yang besar kepada pelbagai sektor industri yang bertapak di sini dan akan turut menjejaskan sumber pendapatan peniaga kecil.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung, Timbalan pengarah Hospital Bintulu Dr Sivashunmugam a/l Sangaran, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu Jame Reis dan Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong. -EDISI UKAS