Jamuan Berbuka Puasa, Moreh Atau Sahur Di Masjid Dan Surau Tidak Dibenarkan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Jamuan Berbuka Puasa, Moreh Atau Sahur Di Masjid Dan Surau Tidak Dibenarkan
0 Comments

KHAMIS, 8 APRIL 2021

KUCHING: Selepas bazar Ramadan dibatalkan, jamuan berbuka puasa, moreh atau sahur di surau atau masjid turut juga dibatalkan. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan tambahan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam usaha memerangi COVID-19.

“Sebarang jamuan seperti berbuka puasa, moreh atau sahur tidak dibenarkan di masjid atau surau.

“Kalau jawatankuasa pengurusan masjid atau surau hendak menyediakan makanan sekalipun, mereka boleh buat secara bungkusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui diminta mengulas mengenai operasi masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan pada Khamis. 

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, solat terawih dan witir dibenarkan namun bilangan jemaah maksimum 200 orang atau setengah daripada kapasiti masjid atau surau.

“Masjid akan mula dibuka pada jam 4 pagi dan ditutup sekitar jam 10.30 malam,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu tiada halangan untuk peniaga menjual makanan di kawasan kediaman pada bulan Ramadan.

“Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan seperti pendaftaran Mysejahtera, memeriksa suhu badan dan menyediakan cecair pencuci tangan,” katanya. -EDISI UKAS