Terminal Bako Baharu Lonjakkan Industri Pelancongan Dan Sosioekonomi Penduduk Bako

UKAS  > Edisi-Selatan >  Terminal Bako Baharu Lonjakkan Industri Pelancongan Dan Sosioekonomi Penduduk Bako
0 Comments

KHAMIS, 8 APRIL 2021

KUCHING: Kemudahan yang lengkap dan operasi yang tersusun meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi di Terminal Bako. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini pastinya akan meningkatkan lagi kapasiti kedatangan pelancong dan menggunakan kemudahan ini untuk ke Taman Negara Bako. 

“Kemudahan yang lebih selesa, luas dan selamat di Terminal Bako membolehkan peningkatkan kapasiti jumlah pelancong ke Taman Negara Bako.

“Ini sekaligus memacu pertumbuhan industri pelancongan tempatan dan meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

“Juga, operasi terminal menjadi lebih baik dan tersusun berbanding sebelumnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam Majlis Perasmian “Soft Launching” Terminal Bako pada Khamis.

Tambah Dr Hazland, Terminal Bako ini menempatkan kemudahan 74 pengusaha bot pelancongan yang menyediakan perkhidmatan ke Taman Negara Bako dan sekitarnya. 

“Sebelum penularan pandemik COVID-19, kedatangan pelancong ke Taman Negara Bako sekitar lebih 75,000 orang setahun.

“Kita berharap selepas pintu sempadan dibuka apabila keadaan penularan wabak pandemik COVID-19 ini reda, kehadiran pelancong ke Bako akan bertambah dan memberi manfaat kepada penduduk Bako,” tambahnya. 

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pengangkutan Sarawak Datuk Dr. Jerip Susil, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Buckland Bangik dan Pengerusi Sungai-Sungai Sarawak Dr. Murni bin Suhaili. -EDISI UKAS