Klinik Kesihatan Jenis 3 Tingkat Kualiti Pekhidmatan Kesihatan Bahagian Serian

UKAS  > Edisi-Selatan >  Klinik Kesihatan Jenis 3 Tingkat Kualiti Pekhidmatan Kesihatan Bahagian Serian
0 Comments

SELASA, 13 APRIL 2021

SERIAN: Pembinaan klinik Kesihatan Serian yang kini sedang dalam pelaksanaan akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di bahagian Serian.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dato Sri Dr Adham Baba berkata, Klinik Kesihatan Jenis 3 itu dijangka siap pada Jun 2022.

“Selain itu, kita juga bersetuju untuk meningkatkan keupayaan Hospital Serian termasuk menyediakan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga kelengkapan lain termasuk ventilator.

“Kelengkapan ini bukan sahaja untuk kes tertentu malah persediaan kita menghadapi kes COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa lawatan kerja ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19 Hospital Serian pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Mohd Syafiq Abdullah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Prof Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chin Zin Hing dan Pengarah Hospital Serian, Dr Maria Mesran.

Beliau juga menambah, pakar yang sedia ada di Hospital Serian juga akan ditambah untuk menambah baik perkhidmatan di hospital tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, negara mempunyai strategi kesihatan awam seperti yang dilaksanakan pada masa ini untuk menghadapi peningkatan jumlah kes COVID-19.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipertingkatkan lagi.

“SOP yang telah digariskan sebenarnya cukup kukuh untuk kita mengatasi COVID-19.

“Kita juga mempunyai pelan tindakan yang pantas untuk mengasingkan kes positif melalui keputusan ujian makmal bagi mengelakkan mereka berada dalam komuniti,” jelasnya.

Kunjungan beliau ke bahagian Serian diteruskan dengan lawatan kerja ke Rumah Panjang Sungai Engkabang B.

Beliau turut menyampaikan sumbangan masing-masing berjumlah RM5,000 kepada Rumah Panjang Sungai Engkabang A dan Rumah Panjang Sungai Engkabang B.

Datuk Aaron juga menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Rumah Panjang Sungai Engkabang Dua.-EDISI UKAS