Rolland Duat Teruskan Usaha Pastikan Rakyat Terima Manfaat RTP

UKAS  > Edisi-Tengah >  Rolland Duat Teruskan Usaha Pastikan Rakyat Terima Manfaat RTP
0 Comments

RABU, 14 APRIL 2021

JULAU: Usaha berterusan dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat Jubin bagi memastikan penduduk rumah panjang di kawasannya tidak ketinggalan menerima manfaat Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Ujarnya, sejak beliau diberi rakyat kepercayaan sebagai wakil mereka, beliau sedaya upaya memberi perkhidmatan terbaiknya.

“Setelah diberi kepercayaan daripada rakyat menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat, saya memulakan perkhidmatan dengan sedaya upaya menyelesaikan masalah di DUN Meluan.

“Kita juga mahu pembangunan berterusan khususnya menerusi RTP memberi manfaat kepada penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan ke tapak menaiktaraf Rumah Menyimbang, Sungai Ridan Ulu Entaih di Julau pada Selasa.

Sementara itu, Rolland Duat berkata, projek menaiktaraf rumah panjang 44 pintu tersebut menggunakan kos sebanyak RM150,000 menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2021 selain sebuah daripadanya dibaikpulih dengan peruntukan daripada Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) 2020 DUN Meluan.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan cek RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Menyimbang.

Lawatan beliau diteruskan bagi projek yang sama di Rumah Awar, Tekalong, Ulu Entaih, Pakan.

Projek untuk 12 pintu rumah panjang itu menelan kos sebanyak RM50,000.

Seterusnya Rolland Duat bersama rombongan mengadakan tinjauan ke atas projek jalan dari SK Ulu Entaih ke Rumah Enchana/Rumah Meru/Rumah Sumping yang telah dinaiktaraf dengan peruntukan RM305,000 di bawah RTP 2017.-EDISI UKAS