OACP Tingkat Tahap Integriti Semua Agensi Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  OACP Tingkat Tahap Integriti Semua Agensi Sarawak
0 Comments

KHAMIS, 15 APRIL 2021

KUCHING : Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bukan sekadar perhiasan tetapi ia merupakan dokumen induk sebagai rujukan dan panduan semua agensi khususnya di negeri Sarawak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata, semua OACP-RBK ini mesti dilaksanakan bersungguh-sungguh dalam memerangi rasuah dan juga meningkatkan tahap integriti.

 “Ia merupakan dokumen utama Kerajaan Malaysia yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu bagi memerangi rasuah habis – habisan.

“Saya dimaklumkan bahawa sebanyak enam strategi dan 115 inisiatif telah dikenalpasti dalam NACP bagi meningkatkan tahap integriti, tadbir urus dan usaha menangani kebarangkalian berlakunya rasuah.” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Antirasuah Pentadbiran Bahagian Kuching di Waterfront Hotel Pada Khamis.

Hadir sama ialah, Pemangku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, (Transformasi, Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Datu Ismail Mohamad Hanis, Pengarah Unit Integriti & Ombudsman Negeri, Jabatan Ketua Menteri, Adana Jed, Residen Bahagian Kuching, Sherrina Hussaini, Pegawai Daerah Kuching, Awang Yusup Awang Mostapha, Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam, Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani serta tetamu jemputan lain.

Tambah Datuk Amar Jaul lagi, Sarawak telah mempunyai seramai 30 orang tenaga pelatih yang akan mengendali semua bengkel penyediaan OACP.

Lanjutan daripada itu, beliau turut mengingatkan agar OACP sentiasa dipantau dengan rapi dan serius supaya semua inisiatif yang terkandung dapat dipraktikkan secara cekap dan berkesan. – EDISI UKAS