Ahli Parlimen Kota Samarahan Tinjau Masalah Sistem Paip Di Kampung Baru

UKAS  > Edisi-Selatan >  Ahli Parlimen Kota Samarahan Tinjau Masalah Sistem Paip Di Kampung Baru
0 Comments

JUMAAT, 16 APRIL 2021

SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang bersama dengan pihak Lembaga Air Kuching (KWB) melakukan tinjauan masalah system perpaipan di Kampung Baru di sini pada Khamis.

Jelasnya, beliau telah melakukan perancangan sejak beberapa tahun lalu dalam memastikan masalah sistem perpaipan dan bekalan air di kampung berkenaan dapat diatasi sebaiknya.

Bagaimanapun katanya, penambahan struktur rumah-rumah penduduk menyukarkan kerja-kerja membaik pulih sistem perpaipan di kawasan itu.

“Kebanyakan masalah tersebut berpunca daripada kerja-kerja pengubahsuaian rumah oleh penduduk yang mengakibatkan sistem paip berada di bawah rumah mereka.

“Usaha untuk memperbaharui sistem perpaipan di kampung tersebut agak sukar kerana pihak KWB terpaksa menggali semula paip yang berada dibawah tapak rumah berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Rubiah menasihatkan penduduk kampung agar mendapatkan nasihat daripada pihak berwajib terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang kerja-kerja penambahan struktur rumah masing-masing. -EDISI UKAS