Hanya Perkhidmatan Perlu Dibenarkan Keluar Masuk Ke Bintulu, Ujian Calitan COVID-19 Turut Dicadangkan Ke Atas Masyarakat Bintulu

UKAS  > Edisi-Utara >  Hanya Perkhidmatan Perlu Dibenarkan Keluar Masuk Ke Bintulu, Ujian Calitan COVID-19 Turut Dicadangkan Ke Atas Masyarakat Bintulu
0 Comments

SELASA, 27 APRIL 2021

BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu telah memutuskan pergerakan keluar dan masuk ke Bahagian Bintulu tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan perlu sahaja.  

Menurut Pengerusi JPBB Bintulu Jack Aman Luat, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira Bintulu masih berstatus Zon Merah dan memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal. 

“Kami berusaha sebaik mungkin dengan menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat jika dibandingkan dengan SOP di bahagian lain. 

“Walaupun SOP Bahagian Bintulu ketat, tetapi masih ada yang tidak berpuas hati. 

“Begitupun, pelaksanaan SOP ketat kerana Bahagian Bintulu sudah lama berada dalam zon Merah dan sentiasa menduduki tiga tempat teratas. Itu suatu yang tidak baik dan kita berusaha untuk keluar daripada kedudukan itu,” katanya 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBB Bintulu yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Isnin. 

Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu menambah, ketika ini orang awam diwajibkan menjalani ujian calitan RT-PCR bagi mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Kesihatan dan permit polis untuk rentas zon atau daerah.

Bagaimanapun, JPBB Bintulu turut juga mencadangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk melaksanakan ujian calitan ke atas masyarakat Bintulu yang hendak ke luar zon atau daerah. 

“Kami telah melaksanakan SOP ujian calitan COVID-19 ke atas orang awam yang memasuki Bintulu dan ternyata ianya berkesan dalam mengurus kes-kes positif COVID-19 dari bahagian lain. 

“Dalam pada itu, JPBB Bintulu telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk turut melaksanakan ujian calitan COVID-19 ke atas masyarakat Bintulu yang keluar dan masuk ke Bintulu,” ujarnya. 

Cadangan ini diadakan bagi menjawab persoalan masyarakat luar yang mempertikaikan kenapa masyarakat Bintulu tidak perlu menjalani ujian calitan RT-PCR apabila hendak ke zon atau daerah lain di Sarawak. 

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung, Ketua Polis Daerah Bintulu Supt. Zulkipli Suhaili dan Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid. -EDISI UKAS