Lebih 2,000 Penduduk Sarikei Bakal Mendapat Vaksin Pada Program Imunisasi COVID-19 Fasa 2

JUMAAT, 30 APRIL 2021

SARIKEI: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2 Peringkat Bahagian Sarikei mensasarkan seramai 2,340 penerima.

Program yang diadakan selama empat hari bermula Jumaat hingga 3 Mei 2021 ini dibahagikan kepada dua lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Dewan Suarah Sarikei dan Hospital Sarikei.

Hari pertama program dijangka menyaksikan seramai 478 penerima yang melibatkan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan penghidap penyakit tampil menerima suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Suarah Sarikei.

Menteri Muda Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh telah hadir bagi merasmikan hari pertama program tersebut pada Jumaat.

Dalam pada itu, Residen Bahagian Sarikei Felicia Tan Ya Hua, menyeru penduduk Daerah Sarikei menyemak status temujanji vaksinasasi di aplikasi MYSEJAHTERA untuk pengesahan tarikh temujanji bagi pengambilan dos pertama vaksin Covid-19.

Orang ramai juga terus diminta untuk mendaftar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera atau di Klinik Kesihatan Daerah dan Pejabat Daerah berhampiran.-EDISI UKAS