MBM Larang Penggunaan ‘Styrofoam’ Dalam Pembungkusan Makanan

UKAS  > Edisi-Utara >  MBM Larang Penggunaan ‘Styrofoam’ Dalam Pembungkusan Makanan
0 Comments

JUMAAT, 30 APRIL 2021

MIRI: Peniaga di bandaraya Miri diingatkan untuk tidak menggunakan pembungkusan makanan jenis Styrofoam atau sering disebut sebagai Polystyrene

Menurut kenyataan media Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada Rabu, peniaga yang masih menggunakan pembungkusan Styrofoam akan diambil tindakan segera dan meminta peniaga mencari alternatif lain untuk membungkus makanan. 

“Pada minggu lepas, MBM telah merampas sejumlah styrofoam semasa operasi minggu lepas dan akan meneruskan pelaksanaan penguatkuasaan ini. 

“Arahan melarang penggunaan Styrofoam ini telah berkuatkuasa sejak 25 Ogos 2017 hingga kini. 

“Bagaimanapun, keberkesanan kempen pengharaman bekas dan bungkusan makanan Styrofoam ini masih belum memuaskan,” katanya. 

Styrofoam dibuat dari styrene, produk sampingan petroleum yang tidak boleh diperbaharui dan sumber pencemaran yang sangat besar serta diketahui boleh menyebabkan penyakit barah. 

Dalam kenyataan itu, MBM menjelaskan sebahagian besar sampah yang dibersihkan di pantai merupakan bekas makanan styrofoam yang boleh menjejaskan alam sekitar. 

Sehubungan itu, operasi bersepadu bagi memeriksa pengusaha makanan dan minuman yang menggunakan Styrofoam atau mudah dipanggil Polystyrene akan diteruskan bagi memastikan kesihatan rakyat dan alam sekitar terus dijaga. -EDISI UKAS