Kampung Pemukat Akan Terus Dipelihara Dan Dibangunkan Untuk Generasi Akan Datang

ISNIN, 3 MEI 2021

LIMBANG: Kampung Pemukat yang merupakan salah satu dari Kampung Melayu di Bahagian Limbang ini akan terus dipelihara dan dibangunkan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kawasan ini semakin dihimpit pembangunan kerana tidak ada kawasan untuk pelebaran kampung bagi Kampung Pemukat, Bukit Kota, Limpaong dan Buangsiol.

“Kampung Pemukat adalah sebuah kampung yang unik dan perlu dipertahankan dengan satu sahaja alternatif iaitu Penyukatan Kampung Tradisi demi memperjuangkan martabat Kampung Melayu yang unik.

“Kami wakil rakyat baiknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun Ahli Parlimen Limbang akan mencari satu resolusi atau kaedah yang terbaik untuk membangun dan memperindah Kampung Pemukat. 

“Dalam pada itu, satu cadangan untuk menaik taraf Surau Darul Ehsan Haji Me’raj Kampung Pemukat menjadi sebuah surau terapung yang indah dan mampu menampung sekurang-kurangnya 200 hingga ke 300 jemaah pada satu-satu masa akan dicadangkan bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Limbang,“ katanya. 

Katanya dalam ucapan ringkasnya dalam Program Badudun Tahun 1442H/2021M di Surau Darul Ehsan, Haji Me’raj, Kampung Pemukat, Limbang baru-baru ini. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut mengumumkan peruntukkan Geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM10,000 bagi kegunaan aktiviti-aktiviti Surau Darul Ehsan Haji Me’raj Kampung Pemukat.

Pada majlis itu, Datuk Dr Abdul Rahman telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada asnaf-asnaf yang terpilih bagi meringankan beban untuk menyambut Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Turut hadir Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat, Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosley, Timbalan Pengerusi PBB Cawangan Bukit Kota Osman Salleh, Ketua Kampung Pemukat Mohamud Matnor dan  Imam Abdul Rahman Ali. -EDISI UKAS