Program SABERKAS Prihatin Bantu Ringankan Beban Golongan Asnaf Sambut Hari Raya Aidilfitri

UKAS  > Edisi-Utara >  Program SABERKAS Prihatin Bantu Ringankan Beban Golongan Asnaf Sambut Hari Raya Aidilfitri
0 Comments

SELASA, 4 MEI 2021

LIMBANG: Program SABERKAS Prihatin merupakan program baru yang mula diperkenalkan pada tahun ini. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ianya diadakan bertujuan memberikan sumbangan kepada golongan asnaf.

“Kita telah meminta setiap unit untuk memilih dua orang asnaf sahaja dari 18 Unit SABERKAS Cawangan Bukit Kota memandangkan peruntukan yang ada adalah terhad. 

“Jadi penerima hari ini kesemua 36 orang sahaja dan kita di peringkat cawangan tidak dapat memilih tetapi yang ada pada hari ini adalah rezeki mereka daripada Allah SWT,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program SABERKAS Prihatin anjuran SABERKAS Cawangan Bukit Kota di Masjid Baitul Iman Daerah Limbang pada Sabtu. 

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan DUN Bukit Kota menambah, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan sangat prihatin menerusi pelbagai bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban rakyat. 

“Banyak cara kita membantu, yang terbesarnya adalah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang banyak memberi bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan. 

“Ini termasuk bantuan kepada orang tua, bantuan kepada anak-anak yang masih bersekolah. Kemudian kalau ada bencana JKM juga akan membantu. 

“Pada waktu COVID-19 ini sekiranya sesebuah kawasan itu dikenakan perintah berkurung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semua bantuan datang dari kerajaan melalui Jabatan Kebajikan,” tambahnya. 

Selain itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) turut memberikan sumbangan menerusi rumah ke rumah untuk aktiviti tahunan mereka seperti membantu asnaf-asnaf, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dan sebagainya.

Hadir sama Naib Pengerusi 1 SABERKAS Cawangan Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat dan Naib Pengerusi 2 SABERKAS Cawangan Bukit Kota Suhaimi Mohamad. -EDISI UKAS