Kerajaan Sarawak Fokus Pembangunan Yang Saksama Dan Bermakna Kepada Semua Rakyat – TYT

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Kerajaan Sarawak Fokus Pembangunan Yang Saksama Dan Bermakna Kepada Semua Rakyat – TYT
0 Comments

RABU, 12 MEI 2021

KUCHING: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan, kerajaan Sarawak terus memberi tumpuan terhadap pembangunan yang lebih adil dan saksama serta lebih bermakna kepada rakyat semua tanpa mengira keturunan kaum dan kepercayaan agama.

Dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2021 pada Rabu, beliau menegaskan, hal-hal berkaitan politik haruslah diasingkan daripada perkara yang remeh-temeh khususnya agenda peribadi dan kepentingan kumpulan.

“Usaha perlu diteruskan bagi pembangunan sosio ekonomi untuk menaikkan pencapaian kita ke tahap yang lebih tinggi lagi sejajar dengan agenda negara untuk mencapai status negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 dan seterusnya,” katanya.

Dalam perutusan sama, beliau percaya rakyat Sarawak akan terus patuh kepada peraturan yang sedia bagi mengekang penularan COVID-19  dalam apa jua keadaan demi kesihatan rakyat dan negeri sekaligus mengukuhkan kestabilan politik yang menjadi asas pembangunan sosio ekonomi.

Jelasnya lagi, kerajaan Sarawak selepas mendapat mandat yang besar daripada rakyat semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2016 telah melaksanakan pelan-pelan pembangunan jangka panjang untuk merealisasikan cita-cita menjadikan Sarawak sebagai negeri yang paling makmur dan berjaya menjelang tahun 2030.

“Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan satu rancangan program pembangunan jangka panjang yang dinamakan Rancangan Transformasi Sosio–Ekonomi Sarawak atau ‘Sarawak Socio-Economic Transformation Plan’ (SETP) mulai dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11),” ujar beliau.

Dalam pada itu juga, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Sarawak khususnya masyarakat Islam yang meraikan perayaan tersebut. -EDISI UKAS