Sarawak Tidak Laksana Semula PKP Untuk Jana Ekonomi, Teruskan Program Pembangunan: KM

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sarawak Tidak Laksana Semula PKP Untuk Jana Ekonomi, Teruskan Program Pembangunan: KM
0 Comments

RABU, 12 MEI 2021

KUCHING: Keputusan Kerajaan Sarawak untuk tidak melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan ekonomi negeri ini terus dijana agar program pembangunan dapat dilaksanakan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan pelaksanaan semula PKP akan memberi impak negatif terhadap ekonomi negeri ini dan menyebabkan rakyat hilang pekerjaan.

“Kerajaan Negeri juga mengambil kira impak PKP terhadap kegiatan ekonomi di negeri ini.

“Melaksanakan PKP secara menyeluruh akan mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi negeri yang sudahpun menerima tamparan yang hebat ekoran PKP dan PKPB setahun yang sudah.

“Ekonomi negeri harus terus dijana supaya rakyat kita tidak hilang pekerjaan dan program pembangunan terus terlaksana,” katanya dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri pada Selasa.

Sehubungan itu jelas Ketua Menteri, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memilih untuk terus melaksanakan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) di tempat-tempat berlaku kes-kes jangkitan berpandukan kepada data dan keadaan di lapangan.

Katanya, penggunaan kaedah ‘Jejak, Uji, Kuarantin, Sisih’ lebih praktikal berbanding dengan menutup seluruh daerah atau negeri yang terlibat dengan melaksanakan PKP.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Sarawak kini sedang memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha untuk mengekang jangkitan di samping melaksanakan program imunisasi bagi 2.08 juta rakyat negeri ini yang layak.

“Kerajaan Sarawak juga sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi termasuk berunding dan membuat perolehan sendiri dari pembekal supaya program imunisasi di negeri ini mampu diselesaikan menjelang Ogos hadapan.

“Kerajaan Negeri juga perlu mendapat kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan hospital-hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin untuk mempercepatkan proses imuninasi khususnya di kawasan bandar,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu menggesa rakyat di negeri ini untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan terutama semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ketua Menteri mengajak seluruh rakyat pelbagai lapisan di Sarawak untuk terus menjaga akhlak budi pekerti dan mengukuhkan budaya hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Perpaduan rakyat kita amat penting bukan hanya pada masa senang tetapi juga dalam pada ketika negeri kita menghadapi bencana seperti pandemik Covid-19.

“Ini bukanlah masanya untuk kita berpecah atau berbalah antara satu sama lain, namun pihak Kerajaan tetap bersedia untuk menerima pandangan yang berbeza dan membina,” katanya. – EDISI UKAS