Kerajaan Ringankan Beban Rakyat Daripada Impak Pandemik COVID-19

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Kerajaan Ringankan Beban Rakyat Daripada Impak Pandemik COVID-19
0 Comments

KHAMIS, 13 MEI 2021

KUCHING : Memahami cabaran dan kesukaran yang dihadapi rakyat akibat penularan wabak COVID-19, kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan sentiasa komited membantu meringankan beban.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif serta bantuan.

“Kerajaan persekutuan telah memberi bantuan melalui beberapa pakej seperti PRIHATIN, PENJANA, PERMAI dan PEMERKASA manakala Kerajaan Sarawak telah dan sedang melaksanakan beberapa insiatif melalui pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang atau BKSS.

“BKSS yang berjumlah lebih daripada RM3.2 billion dan bantuan di bawah pakej ini meliputi seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan kaum juga politik .” ujarnya dalam Perutusan Hari Aidilfitri 2021.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan itu juga berharap keadaan ekonomi negeri dan negara dapat dipulihkan serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.

Jelasnya, walaupun sambutan Hari Raya pada kali ini masih seperti tahun lepas namun umat islam khasnya masih boleh merayakannya dengan ahli keluarga terdekat dengan menggunakan platform media sosial untuk berhubung.- EDISI UKAS