Kerajaan GPS Serah Kepada Yang Di-Pertuan Agong, Yang Di-Pertua Negeri Tetapkan Tarikh Bubar DUN Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Kerajaan GPS Serah Kepada Yang Di-Pertuan Agong, Yang Di-Pertua Negeri Tetapkan Tarikh Bubar DUN Sarawak
0 Comments

SELASA, 26 MEI 2021

KUCHING : Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Musafa Billah Shah dan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak memaklumkan demikian dalam satu kenyataan media pada Selasa selepas pemimpin-pemimpin GPS yang diketuai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menghadap Al-Sultan Abdullah secara maya berhubung tempoh DUN dan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 12.

Dalam kenyataan media sama, keputusan dibuat setelah menerima nasihat daripada Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Pada sesi tersebut, Ketua Menteri menyembah maklum kepada Yang Dipertuan Agong mengenai tempoh tamat DUN Sarawak sehingga 6 Jun ini.

Mengikut perlembagaan Negeri Sarawak, DUN harus dibubar dan pilihan raya perlu diadakan.

Bagaimanapun, ekoran pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang Dipertuan Agong setelah berunding dengan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Sehubungan itu, Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Musafa Billah Shah telah menasihati agar Kerajaan Sarawak berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.-EDISI UKAS