Ketua Menteri Umum Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0

JUMAAT, 28 MEI 2021

KUCHING : Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 menerusi 15 langkah, bagi meneruskan kelangsungan bantuan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuatkuasa esok, 29 Mei 2021 sehingga 11 Jun 2021.

Berucap dalam Sidang Media Khas di Kuching, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan, pakej tersebut merangkumi 8 langkah pembayaran tunai dan 7 langkah pemberian diskaun.

Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan BKSS 6.0, 11 langkah dalam Pakej BKSS 5.0 yang masih dalam pelaksanaan juga akan turut memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

“Saya berharap langkah-langkah dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 6.0 dengan perbelanjaan kerajaan Sarawak sebanyak RM1.4 Bilion termasuklah langkah-langkah yang sedang dalam pelaksanaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh kita semua ketika melalui waktu yang sukar ini,” ujarnya.

Antara langkah-langkah pembayaran tunai adalah pertama, insentif untuk Ketua Isi Rumah B40 Sarawak untuk tempoh 6 bulan (RM250 sebulan – mulai 31 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021) dan individu bujang B40 berumur 21 tahun ke atas (RM500 secara one-off – mulai 31 Ogos 2021).

Kedua, elaun bulanan khas petugas barisan hadapan  yang menangani pandemik COVID-19 di Sarawak untuk tempoh 6 bulan (Anggota Kesihatan (RM300), Kakitangan Imigresen Yang Bertugas Di Pos-Pos Kawalan Sempadan (RM200), Kakitangan PDRM dan Bilik Gerakan Negeri (RM200), Angkatan Tentera Malaysia yang menjaga sempadan (RM200), Anggota RELA (RM200), Anggota Kastam diRaja Malaysia yang bertugas di semua pintu masuk sempadan/pelabuhan/lapangan terbang (RM200), Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang bertugas dalam perkhidmatan kecemasan/kerja-kerja pemeriksaan/sanitasi (RM200), Anggota Bomba dan Penyelamat (RM200), Anggota Angkatan Pertahanan Awam (RM200) ).

Ketiga, insentif kepada pengamal media barisan hadapan di Sarawak (RM1,500 secara one-off).

Keempat, geran kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (RM1,500 secara 2 peringkat; RM750 pada bulan Julai dan RM750 pada bulan Disember 2021 melalui Sarawak Pay).

Kelima, insentif untuk pemilik dan pengendali penambang yang berdaftar dengan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak  (RM500 secara one-off).

Keenam, insentif untuk Pengendali Van Penumpang, Pemandu Teksi, Pengendali Bas dan Van Sekolah yang berdaftar di Sarawak (RM600).

Ketujuh, bantuan kewangan kepada Pemandu e-Hailing dan Tenaga Pengajar Memandu (RM500 secara one-off melalui Sarawak Pay).

Kelapan, bantuan khas kepada Agensi Pelancongan berlesen (RM3,000), Operator Homestay berlesen (RM600), Pemandu Kenderaan Pelancongan berlesen (RM500), Pemandu Pelancong dan Pemandu Pelancong Taman Negara yang berlesen (RM1,500).

Dalam pada itu, tujuh langkah pemberian diskaun pula adalah merangkumi diskaun 5% sehingga 25% ke atas bil elektrik bulanan; 10% hingga 25% ke atas bil air bulanan; 25% taksiran kadar cukai pintu tahunan melebihi RM400 dan 30% untuk kadar cukai pintu tahunan RM400 dan ke bawah; 50% sewa pasar dan gerai; 50% sewa skim perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC); Pengecualian bayaran sewa kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat GLC negeri serta penyediaan bakul makanan kepada isi rumah yang terjejas semasa PKP.

Melalui langkah-langkah tersebut, tambah Ketua Menteri, kerajaan Sarawak sentiasa melaksanakan  inisiatif yang terbaik bagi membantu meringankan beban rakyat. -EDISI UKAS

Share

add comment