Perkhidmatan Tele-Kaunseling, Bantu Rakyat Yang Perlu Sokongan Psikologi Dan Emosi

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Perkhidmatan Tele-Kaunseling, Bantu Rakyat Yang Perlu Sokongan Psikologi Dan Emosi
0 Comments

JUMAAT, 28 MEI 2021

KUCHING: Perkhidmatan tele-kaunseling merupakan satu perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan kebajikan masyarakat (JKM) bagi membantu orang ramai yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19 serta memerlukan sokongan psikologi dan emosi.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, melihat kepada situasi pandemik COVID-19 di negeri ini yang berlarutan, berlanjutan dan bertambah serius, perkhidmatan sokongan itu adalah perlu bagi mereka yang memerlukan.

“Disebabkan situasi pandemik COVID-19 berlarutan, berlanjutan dan keadaan bertambah serius di negeri ini jadi kita merasakan ada keperluan untuk kita menawarkan perkhidmatan sokongan bagi mereka yang memerlukan terutama yang terkesan dari segi aspek mental, emosi, fizikal dan kerohanian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengaktifan semula Tele-Kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di sini pada Jumaat.

Hadir sama adalah Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis dan Pengarah JKM Sarawak, Noriah Ahmad.

Tambah Dato’ Sri Fatimah, perkhidmatan itu disediakan untuk semua rakyat Sarawak yang berada di bandar dan juga di luar bandar.

Menurut beliau lagi, perkhidmatan tele-kaunseling itu merupakan kerjasama antara Cawangan Psikologi dan Kaunseling JKMS dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) untuk membantu individu di bawah pengawasan (PUS) yang terkesan dengan COVID-19.

“Cawangan Psikologi dan Kaunseling turut menyediakan perkhidmatan ini kepada kakitangan JKMS, komuniti dan juga sesiapa sahaja yang memerlukan,” katanya.

Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan ini boleh menghubungi Pegawai Psikologi JKMS di talian 082-445710 atau Talian Kasih 15999 atau mengisi maklumat di ‘google form’ https://bit.ly/2ROp8Pd. -EDISI UKAS