JPBD Marudi Ambil Inisiatif Turun Padang Perjelas SOP Gawai Ke Setiap Rumah Panjang

UKAS  > Edisi-Utara >  JPBD Marudi Ambil Inisiatif Turun Padang Perjelas SOP Gawai Ke Setiap Rumah Panjang
0 Comments

AHAD, 30 MEI 2021

MARUDI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi mengambil inisiatif turun padang ke setiap rumah di kawasan Pujut Lubok Nibung bagi menerangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Gawai.

Pemangku Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis berkata, ini bagi memastikan setiap rumah panjang melaksanakan SOP Gawai sekaligus mengekang penularan wabak COVID-19 semasa musim perayaan.

“Pada petang ini sebanyak 10 buah rumah panjang telah diberi penerangan secara ringkas mengenai SOP yang perlu dipatuhi penduduk khususnya pada perayaan Gawai Dayak yang akan di sambut pada 1 Jun ini. 

“Setiap rumah panjang telah diberikan garis panduan SOP Gawai yang perlu dipatuhi.

“Untuk itu, Tuai Rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) digesa supaya bekerjasama dengan JPBD Marudi dengan mengamalkan Komuniti Polising seperti yang telah diterangkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas turun padang  dan memberikan penerangan SOP Gawai di 10 buah panjang dalam kawasan Pujut Lubok Nibung pada Sabtu. 

Tambah Norlila lagi, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat laporan mengenai pelanggan SOP seperti yang telah ditetapkan. 

Turut menyertai operasi ini ialah Pejabat Daerah Marudi, Ibupejabat Polis Daerah Marudi dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Daerah Marudi. -EDISI UKAS