Pematuhan Tinggi Penduduk Rumah Cherida Terhadap SOP Covid-19 Wajar Dicontohi

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pematuhan Tinggi Penduduk Rumah Cherida Terhadap SOP Covid-19 Wajar Dicontohi
0 Comments

SELASA, 1 JUN 2021

BINTANGOR: Tahap pematuhan tinggi terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) diamalkan masyarakat di Rumah Cherida di Bintangor wajar dijadikan contoh oleh rumah-rumah panjang lain di Sarawak.

Menurut Tuai Rumah Cherida Igu, beliau amat bangga kerana anak-anak buahnya memberikan sokongan dan kerjasama mematuhi SOP ditetapkan sebagai usaha memutuskan penularan Covid-19.

Katanya, kerjasama diberikan itu memperlihatkan komitmen serta kesungguhan penduduk di rumah panjang itu dalam mengutamakan kesihatan.

Beliau berkata demikian semasa ditemuramah pada Isnin oleh pihak media yang mahu melihat sendiri bagaimana penduduk Rumah Panjang Cherida mematuhi SOP untuk menyambut Hari Gawai.

Atas kerjasama tersebut, Rumah Cherida telah terpilih dalam pencalonan Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 (Kategori Luar Bandar Di Sarawak).

Pemantauan mendapati Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama Tuai Rumah memberi kerjasama memainkan peranan dalam memastikan penduduk rumah panjang sentiasa menjaga dan mematuhi arahan SOP.

Kebanyakan anak-anak mereka yang berada di luar kawasan berhubung menggunakan telefon bimbit untuk bertanya khabar dengan ahli keluarga mereka walaupun ada yang sudah dua tahun tidak bertemu.

Arahan juga dikeluarkan oleh JKKK Rumah Panjang jika ada penduduk rumah panjang yang lain datang membuat lawatan akan didenda seorang RM50 dan penduduk rumah panjang juga dilarang ke rumah panjang yang lain dengan urusan kematian sementara waktu ini.

Upacara Miring cuma kecil-kecilan sahaja dalam satu bilik rumah panjang diterhadkan 10 orang sahaja dan penjarakan sosial satu meter juga diamalkan apabila menjamu selera dengan ahli keluarga saja. – EDISI UKAS