Pusat Jagaan Warga Emas Di Samarahan Tidak Terkecuali Jalani PICK

UKAS  > Edisi-Selatan >  Pusat Jagaan Warga Emas Di Samarahan Tidak Terkecuali Jalani PICK
0 Comments

SABTU, 5 JUN 2021

KUCHING : Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang diadakan di pusat jagaan warga emas, Eden-on-the-Park dan Rumah Seri Kenangan Samarahan telah berjalan dengan lancar, pada Jumaat.

Menerusi catatan di Facebook milik Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Prof. Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, jelasnya keutamaan diberikan kepada warga emas untuk mendapatkan vaksin COVID-19 adalah kerana mereka tergolong dalam kalangan yang paling berisiko tinggi dijangkiti.

Justeru, beliau yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak amat menghargai dan berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) serta Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) (agensi Persekutuan) atas pelaksanaan program imunisasi berkenaan yang dijalankan dengan lancar dan jayanya.

Tambah Dr Sim, inisiatif sedemikian juga membuktikan bahawa warga emas yang berada di Pusat Jagaan tidak pernah terkecuali dalam aspek penjagaan kesihatan lebih-lebih lagi tatkala negara berdepan pandemik COVID-19. -EDISI UKAS