Kerajaan Sarawak Lancar Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang, Bantu Rakyat Terjejas Susulan PKP

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Kerajaan Sarawak Lancar Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang, Bantu Rakyat Terjejas Susulan PKP
0 Comments

SELASA, 8 JUN 2021

KUCHING: Prihatin dengan rakyat yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 Jun depan, Kerajaan Sarawak akan membantu seramai 472,923 Ketua Isi Rumah (KIR) di seluruh negeri ini menerusi Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, Kerajaan Negeri menerusi kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memperuntukkan sejumlah RM35.5 juta untuk melaksanakan program bantuan bekalan makanan itu.

Menurut beliau, mengikut statistik yang dikeluarkan pada Isnin, pengagihan barangan telah dilakukan kepada 49,811 isi rumah.

“Jadi, kita berharap rakyat Sarawak yang masih belum menerima bantuan makanan agar bersabar menunggu kerana pengagihan mungkin mengambil sedikit masa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh sekatan pergerakan ini,” katanya.

“Pengagihan bantuan ini akan kita teruskan hingga 11 Jun tahun ini,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bantuan Bekalan Makanan Sarawakku Sayang, BKSS 6.0 di Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki Kuching pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Makanan Negeri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan tetamu kehormat yang lain.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memberitahu, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima peruntukan sebanyak RM250,000 dan bantuan makanan tersebut diagihkan kepada rakyat terutamanya kumpulan B40 yang terjejas.

Pada masa sama, beliau memberitahu, pelbagai jenis pengangkutan seperti pengangkutan udara, darat dan air turut digunakan terutamanya di kawasan yang sukar untuk diakses bagi memastikan bantuan makanan dapat diagihkan segera selewat-lewatnya pada 11 Jun depan.- EDISI UKAS