PPV Restoran Dinner World Sasar 13,000 Penerima Vaksin COVID-19 Dalam Tempoh Seminggu

UKAS  > Edisi-Utara >  PPV Restoran Dinner World Sasar 13,000 Penerima Vaksin COVID-19 Dalam Tempoh Seminggu
0 Comments

ISNIN, 14 JUN 2021

BINTULU: Lebih 1,000 penerima vaksin COVID-19 mendapat suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Restoran Dinner World, Bintulu pada Sabtu. 

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bintulu, Dr Muhammad Afi Fadzly berkata PPV ini telah diaktifkan pada Jumaat tetapi untuk “dry run” sahaja yang melibatkan 230 penerima vaksin. 

“Hari ini PPV ini beroperasi sepenuhnya dan dianggarkan seramai 1,050 penerima yang akan menerima vaksin dan kita bercadang akan membuka PPV ini setiap hari. 

“Buat masa sekarang PPV Restoran Dinner World dibuka dari Sabtu hingga Khamis sahaja dengan mensasarkan 1,000 ke 1,600 penerima dalam sehari dan jumlah akan dinaikKan sehingga 2,000 sehari. 

“Kalau seminggu atau enam hari kita beroperasi, mungkin boleh mencapai 12,000 hingga 13,000 kita memberikan vaksin kepada masyarakat,” katanya. 

Tambah Dr Muhammad Afi lagi, PPV ini mampu mencapai kapasiti 12,000 hingga 13,000 sekiranya individu yang telah mendaftar datang mendapatkan vaksin ini. 

“Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijalankan, saya berharap agar kerajaan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memambah PPV di seluruh negara terutamanya di Sarawak.

“Saya juga berharap masyarakat yang telah mendaftar dan bersetuju menerima vaksin datang mendapatkan suntikan selengkapnya.

“Ini kerana adalah satu inisiatif kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya,” tambahnya. 

Beliau berharap orang ramai khususnya di Bahagian Bintulu ini merebut peluang dan mengambil suntikan vaksin COVID-19 bagi melindungi diri, keluarga dan orang lain. -EDISI UKAS