Sumbangan Makanan Kering Kepada Petugas Pusat Kuarantin Bahagian Serian

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sumbangan Makanan Kering Kepada Petugas Pusat Kuarantin Bahagian Serian
0 Comments

ISNIN, 14 JUN 2021

SERIAN: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Serian menerima sumbangan berupa makanan kering daripada D Generation Adventure 4×4 untuk petugas di Pusat Kuarantin Ranchan, Pusat Kuarantin Transit Inn dan ILKKM Serian.

Sumbangan yang diserahkan pada Ahad telah diterima oleh Urusetia JPBB Serian yang juga Pegawai Tadbir di Pejabat Residen Bahagian Serian, Wee Chung Yee.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan daripada orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada JPBB Serian.

Tambah beliau, fokus JPBB Serian sekarang adalah membendung wabak COVID-19 di bahagian berkenaan dan memastikan vaksinasi warga Serian diutamakan sehingga selesai.

Buat masa sekarang, terdapat tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang beroperasi iaitu di PPV Dewan Masyarakat Serian, PPV Dewan Masyarakat Tebedu dan PPV Dewan Siburan.

Dua lagi PPV yang bertempat di Balai Ringin dan Klinik Kesihatan Tebakang dijangka beroperasi bulan depan.

JPBB Serian menyasarkan vaksinasi adalah seramai 2,000 individu sehari untuk Bahagian Serian. -EDISI UKAS