JPBD Marudi Pergiatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

UKAS  > Edisi-Utara >  JPBD Marudi Pergiatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
0 Comments

SELASA, 15 JUN 2021

MARUDI: Pejabat Daerah Marudi Marudi dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Marudi mempergiatkan usaha bagi memastikan semua penduduk yang ada di Daerah ini mendapatkan suntikan vaksin mereka. 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi yang juga Pemangku Pegawai Daerah Marudi Norlila Ulis, kerjasama daripada  Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta tuai rumah amat diperlukan bagi membantu mempromosikan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 di Daerah Marudi ini. 

“Pejabat Daerah Marudi dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Marudi sedang mempergiatkan usaha bagi memastikan semua penduduk yang ada di Daerah Marudi mendapatkan suntikan vaksin mereka,” katanya semasa ditemui selepas meninjau pemberian proses vaksinasi COVID-19 di PPV Dewan Suarah Marudi pada Isnin. 

Tumpuan kini kepada penduduk yang tinggal di rumah panjang kawasan Puyut Lubuk Nibung.

Tambah Norlila lagi, mereka berusaha mengenal pasti penduduk yang tinggal di sini supaya mendaftar nama mereka kepada tuai rumah masing-masing dan seterusnya nama tersebut akan dihantar kepada Pejabat Daerah Marudi untuk temu janji vaksin COVID-19. 

Seramai 310 orang penduduk telah mendapatkan suntikan vaksin mereka pada Isnin termasuk ahli keluarga kakitangan kerajaan di Daerah Marudi.

Dalam pada itu penduduk yang telah mendapat temu janji diharap dapat hadir mengikut jadual dan masa yang telah ditetapkan. 

JPBD Marudi juga memohon orang ramai supaya bersabar menunggu giliran rumah panjang mereka untuk dimaklumkan bagi mendapatkan vaksin COVID-19. 

Sementara itu, salah seorang penerima vaksin yang dikenali sebagai Keir, menggalakkan orang ramai khususnya mereka yang berada di Daerah Marudi mendaftar sebagai penerima vaksin. 

“Penduduk yang masih ragu-ragu supaya jangan takut untuk mendapatkan vaksin COVID-19. 

“Ambil vaksin demi keselamatan dan melindungi diri, keluarga dan orang lain. 

“Jangan dengar khabar angin yang tidak tepat mengenai vaksin ini,” katanya. -EDISI UKAS