Tiada ‘Walk-In’ Di PPV Serian, Penerima Vaksin COVID-19 Perlu Hadir Ikut Temujanji

UKAS  > Edisi-Selatan >  Tiada ‘Walk-In’ Di PPV Serian, Penerima Vaksin COVID-19 Perlu Hadir Ikut Temujanji
0 Comments

SELASA, 15 JUN 2021

SERIAN: Orang awam di Bahagian Serian diminta untuk tidak datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekiranya tiada sebarang temujanji bagi mengelak kesesakan dan proses vaksinasi berjalan lancar di tiga PPV iaitu PPV Dewan Masyarakat Serian, PPV Tebedu dan PPV Siburan.

Pegawai Daerah Serian selaku Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Serian , Lim Hock Meng selepas meninjau PPV Dewan Masyarakat Serian pada Selasa berkata, PPV tersebut mengalami kesesakan yang mana orang awam telah berbaris seawal pukul 7 pagi bagi mendapatkan vaksin.

Jelasnya, didapati sebilangan besar mereka datang secara ‘walk-in’ tanpa temujanji MySejahtera atau panggilan daripada Pejabat Kesihatan, Pejabat Daerah atau Pejabat Residen Bahagian Serian bagi mendapatkan vaksin.

“Semasa lawatan ke PPV Serian pagi tadi, didapati bahawa PPV Dewan Masyarakat Serian sesak dengan orang dan ada sebahagian dari Kuching dan saya difahamkan kebanyakan mereka datang secara ‘walk in’ tanpa temujanji MySejahtera atau panggilan daripada Pejabat Kesihatan, Pejabat Daerah atau Pejabat Residen Bahagian Serian melalui Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Orang awam dimohon untuk tidak ‘walk-in’ di Daerah Serian kerana polisi tersebut hanya digunakan di kawasan pedalaman seperti yang diumumkan sebelum ini sehingga kita menerima arahan baru dari Kementerian Kesihatan Malaysia atau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS),” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi CITF Bahagian Serian, Dr Edmund Shin Chin Vui turut meminta orang awam yang tiada temu janji di aplikasi MySejahtera mahupun melalui Ketua Kampung masing-masing agar tidak datang ke PPV.

Katanya, orang ramai yang telah mendapat temujanji diminta untuk datang pada tarikh dan masa yang ditetapkan bagi mengelak kesesakan.

“Selain itu, saya turut memaklumkan bahawa PPV Dewan Masyarakat Serian menetapkan sasaran untuk melakukan 800 hingga 1000 vaksinasi dalam masa sehari,” katanya.

Tambah beliau, bagi sesiapa yang tidak dapat hadir untuk mendapatkan vaksin pada masa yang ditetapkan, mereka boleh menghubungi nombor talian hotline Pusat Vaksin Serian 014-383 2685 atau 014-313 2685 atau 016-404 2685 atau 010-383 2685.

Untuk makluman juga, PPV Bahagian Serian menjalankan operasi pemvaksinan dari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga  5 petang.

Manakala pada Sabtu dan Ahad pula pengoperasian adalah mengikut waktu pembukaan pusat vaksin dan pada cuti umum pula ia akan ditutup.-EDISI UKAS