ADUN Semop Wakili Penduduk Pulau Bruit Rakam Penghargaan Kepada Petugas Barisan Hadapan

UKAS  > Edisi-Tengah >  ADUN Semop Wakili Penduduk Pulau Bruit Rakam Penghargaan Kepada Petugas Barisan Hadapan
0 Comments

RABU, 16 JUN 2021

PULAU BRUIT: Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus berusaha menangani penularan wabak Covid-19 dihargai penduduk Pulau Bruit, Daro.

Mewakili penduduk, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol berkata, dedikasi petugas barisan hadapan kepada tanggungjawab telah banyak berkorban masa dan tenaga sejak dari tahun lepas.

“Bagi pihak warga Pulau Bruit kami ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertugas bertungkus lumus sejak tahun lepas.

“Dedikasi mereka kepada tugas dan yang telah berkorban masa dan tenaga amat kita hargai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UKAS semasa lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Kampung Betanak pada Selasa.

Mengulas lawatan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, proses pemberian vaksin di PPV tersebut berjalan dengan lancar.

Operasi PPV Betanak bermula pada 7 Jun lepas membabitkan pemberian vaksin 100 dos disusuli pada 14, 15 dan 16 Jun membabitkan 360 dos.

Sementara itu Kaunselor Ismaili Johari ketika ditemui turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dengan mewujudkan PPV di Klinik Kesihatan Kampung Betanak untuk seluruh penduduk di Pulau Bruit.-EDISI UKAS