Masalah Parkir Kereta Di PPV Klinik Kesihatan Ladang 3 Akan Diusahakan

UKAS  > Edisi-Utara >  Masalah Parkir Kereta Di PPV Klinik Kesihatan Ladang 3 Akan Diusahakan
0 Comments

RABU, 16 JUN 2021

BEKENU: Keadaan kawasan Klinik Kesihatan Ladang 3 yang sempit telah menyukarkan penerima vaksin dan pesakit biasa untuk masuk menggunakan kenderaan dan terpaksa berjalan jauh terutama pada waktu puncak. 

Perkara ini disuarakan Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Ladang 3 Dr Su Chok Kim kepada Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus semasa melakukan tinjauan ke PPV Klinik Kesihatan Ladang 3 pada Selasa. 

PPV ini disediakan sebagai tambahan untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin di Daerah Subis.

Menjawab persoalan itu, Datuk Rosey mencadangkan untuk jangka masa panjang akan menembok dan menyediakan batu di permukaan tanah di kawasan lapang di hadapan klinik itu bagi kemudahan tempat meletak kenderaan. 

Bagaimanapun, usaha ini akan mengambil masa sedikit disebabkan ketika ini dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Dalam pada itu, Datuk Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu telah menyumbang seunit komputer riba dan pencetak untuk kegunaan petugas di klinik tersebut. 

Sehingga kini seramai 440 penerima vaksin telah direkodkan pihak Klinik Ladang 3 bermula 12 Jun 2021 lepas.

Pemberian vaksin COVID-19 ini akan diteruskan berdasarkan senarai nama yang telah dikenal pasti pihak klinik dan dikemas kini Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan berkenan agar tidak ada nama yang tercicir.

Hadir sama Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Subis Dr James Jam Jolly dan Setiusaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak Sarkawi Suhaili dan Julani Moktar. -EDISI UKAS