7,727 Penduduk Tebedu Telah Terima Vaksin COVID-19

UKAS  > Edisi-Selatan >  7,727 Penduduk Tebedu Telah Terima Vaksin COVID-19
0 Comments

SABTU, 26 JUN 2021

TEBEDU: Seramai 7,727 orang iaitu 54.1 peratus penduduk di Daerah Tebedu telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Tebedu setakat 25 Jun 2021.

Menteri Pendidikan Sains Dan Penyelidikan Teknologi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Datuk Amar Michael Manyin Jawong memberitahu, jumlah tersebut membabitkan sebanyak 56 buah kampung.

Tambahnya lagi, seramai 6,568 orang lagi dari 19 buah kampung masih menunggu giliran dan bekalan vaksin.

“Ini merupakan satu petanda yang baik dan telah menunjukkan bahawa penduduk kampung yang berumur 18 tahun ke atas tidak lagi takut atau risau tentang suntikan vaksin lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan dan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Tebedu pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Amar Michael Manyin berkata, beliau amat berpuas hati dengan perjalanan program vaksinasi yang dijalankan pada hari tersebut.

Tegasnya lagi, bagi mewujudkan imuniti kelompok di Daerah Tebedu 14,295 orang yang layak itu mesti disuntik dengan vaksin.

Sementara itu, selain membuat lawatan ke PPV, beliau juga sempat melakukan lawatan ke Pejabat Daerah Tebedu dan Pejabat Polis Serian.

Datuk Amar Micheal Manyin turut menyumbangkan dua cek berjumlah RM10,000 yang mana cek berjumlah RM7,000 disampaikan kepada Kelab Rando Tebedu khas untuk membantu pengoperasian PPV.-EDISI UKAS