KKM Anjur Program Kesedaran Sivik, Salur Informasi Kesihatan Cegah Penularan COVID-19

UKAS  > Edisi-Utara >  KKM Anjur Program Kesedaran Sivik, Salur Informasi Kesihatan Cegah Penularan COVID-19
0 Comments

ISNIN, 5 JULAI 2021

LIMBANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganjurkan Program Kesedaran Sivik bagi masyarakat Penan dan Kelabit di kawasan Ulu Limbang membabitkan tiga buah kampung iaitu Kampung Bahagia dan Rh Joshua Asung di Long Napir, dan ‘Rural Service Center’ (RSC) Kampung Long Rayeh baru-baru ini. 

Program tersebut bertujuan menyalurkan informasi kesihatan dengan memfokuskan pentingnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan menggunakan kaedah dialog dan soal jawab di antara penceramah dan penduduk yang diharap dapat mengubah mentaliti segelintir penduduk yang masih bimbang dan ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin COVID-19. 

Pegawai Kesihatan Daerah Limbang Dr Nur Fatin Safaruddin telah memberikan taklimat mengenai kepentingan dan perlunya mendapatkan vaksin COVID-19 untuk melindungi diri dari penyakit berjangkit.

Kerajaan sekarang berusaha untuk memastikan mereka yang berumur 18 tahun ke atas mendapat suntikan vaksin COVID-19 yang membantu sistem imun dengan melatih antibodi untuk mengenal pasti virus-virus tertentu supaya sistem imun sedia ada bersedia apabila virus sebenar menyerang. 

Vaksin juga merangsang sistem daya ketahanan semulajadi badan bagi mengurangkan risiko mendapat jangkitan virus.

Apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, maka semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan keberangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk.

Imuniti Kelompok hanya boleh dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi.

Selain kesihatan, Penolong Pegawai Jabatan Pendaftaran Limbang Mohd Hanif Mohd Saad turut menyampaikan taklimat berhubung prosedur dan maklumat bagi setiap permohonan pengenalan dokumen diri. 

Taklimat ringkas ini bertujuan membantu masyarakat yang belum memiliki dokumen pengenalan diri dan sijil lahir untuk berbuat demikian. 

Dalam program itu, pada 26 hingga 29 Julai nanti bertempat di Kampung Long Napir dan RSC Long Rayeh akan diadakan program bersepadu bersama dengan jabatan dan agensi kerajaan bagi membolehkan penduduk mendaftar untuk program vaksinasi dan permohonan pengenalan dokumen diri dan sijil lahir.

Setiap petugas KKM telah mengedarkan borang pendafaran vaksinasi kepada setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). 

Hadir sama Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Limbang Cherylynna Leeza Roland, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Limbang Mohd Sobree bin Damit, Penolong Jurutera JKR Limbang Azwan bin Nahrawi, Ketua Daerah Gereja “Borneo Evangelical Mission” (BEM) Pastor Patrick Balang dan Ahli Majlis Daerah Limbang Kaunselor Patrick Lalung. -EDISI UKAS