5 PPVIN Mula Beroperasi Hari Ini, PPVIN Shin Yang Plywood Sdn Bhd Beroperasi 12 Julai 2021

UKAS  > Edisi-Utara >  5 PPVIN Mula Beroperasi Hari Ini, PPVIN Shin Yang Plywood Sdn Bhd Beroperasi 12 Julai 2021
0 Comments

KHAMIS, 8 JULAI 2021

MIRI: Sebanyak 5 Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Bahagian Miri akan mula beroperasi hari ini. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Rabu berkata 5 PPVIN itu ialah PPVIN Emart Riam, PPVIN Miri Port, PPVIN Minyak dan Gas Lutong, PPVIN Saremas dan PPVIN SOP Lambir. 

Katanya lagi, PPVIN Shin Yang Plywood Sdn Bhd baru sahaja mendapat kelulusan daripada Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Sarawak dan dijangka akan beroperasi pada 12 Julai 2021.

“JPBB Miri melalui pihak CITF Sarawak telah memperluaskan pemberian vaksin COVID-19 kepada pekerja-pekerja industri di Bahagian Miri. 

“Diharapkan usaha dan kerjasama semua pihak ini akan mempercepatkan proses pemberian vaksin sekaligus imuniti kelompok dapat dibentuk dengan lebih cepat iaitu selewatnya pada penghujung Ogos ini seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” katanya.

Beliau bersama dengan beberapa wakil jabatan dan agensi kerajaan dalam JPBB Miri telah mengadakan lawatan ke beberapa PPVIN bagi meninjau persediaan sebelum mula beroperasi pada Khamis. 

Dalam pada itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak memberitahu Kluster Industri 121 Kuala Baram yang berlaku di Kuala Baram Industrial Park Miri tiada kaitan langsung dengan Shin Yang Plywood Sdn. Bhd. 

Kluster Industri 121 Kuala Baram ini adalah kilang yang berlainan iaitu membabitkan kuarters pekerja sebuah kilang papan lapis yang terletak di Jalan Kuala Baram yang lama dan telah pun dikunci berkuatkuasa 5 Julai sehingga 18 Julai 2021. 

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri merangkap Pemangku JPBB Miri Jamalie Busri, Penolong Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Wagner Lisa Libut, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pemangku Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusof, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd Dr. Aszeriah dan agensi lain di bawah JPBB Miri. -EDISI UKAS