Pelbagai Rancangan Projek Pembangunan Di Narub Dan Klid

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pelbagai Rancangan Projek Pembangunan Di Narub Dan Klid
0 Comments

JUMAAT, 9 JULAI 2021

MUKAH: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah melakukan tinjauan projek pembinaan jalan menghubungkan Kampung Medong, Lebrasau dan Kampung Klid  baru-baru ini.

Beliau memberitahu, projek pembinaan jalan sepanjang 11.5 kilometer berkenaan menelan belanja sebanyak RM44.4 juta mengalami kelewatan 20 peratus daripada jadual yang ditetapkan.

“Saya memohon agar pihak kontraktor dan agensi pelaksana perlu menggunakan ‘Catch-up Plan’ untuk memastikan ia berjalan lancar.

“Jalan ini satu-satunya projek utama yang amat diperlukan oleh penduduk kerana jalan raya ini menghubungkan Kampung Klid dan kawasan sekitar dengan Pekan Dalat melalui Kampung Medong,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu memaklumkan projek fertigasi diwujudkan di Narub yang melibatkan penduduk setempat dengan penamanan terong, cili dan labu dengan permulaan sejumlah 500 beg.

Selain itu, Dato Sri Fatimah memperuntukan RM25,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk membina dapur Balai Raya Kampung Narub, pembinaan titi dan pontoon.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyantuni penduduk di Kampung Narub dan Kampung Klid bagi Program Vaksinasi ‘Mobile Outreach’.

“Setakat Selasa, seramai 122 orang penduduk Kampung Klid menerima suntikan vaksin dos pertama di Balai Raya Kampung Klid/Sua dan 90 orang penduduk Kampung Narub menerima suntikan yang sama di Balai Raya Kampung Narub,” ujarnya. –EDISI UKAS