Kes Bunuh Di Sebuah Ladang Kelapa Sawit, Seorang Lelaki Indonesia Ditahan

UKAS  > Edisi-Utara >  Kes Bunuh Di Sebuah Ladang Kelapa Sawit, Seorang Lelaki Indonesia Ditahan
0 Comments

SABTU, 10 JULAI 2021

SEBAUH: Polis telah mengesahkan penahanan suspek utama kes bunuh yang dijumpai mati di rumah pekerja ladang kelapa sawit di Sebauh, pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili, berkata seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 30an telah ditahan dalam serbuan di rumah pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Sebauh, pada jam 8.30 pagi Khamis.

“Dalam serbuan itu, polis telah merampas sebilah badik, masing-masing sehelai seluar pendek dan baju serta seunit motosikal. 

“Kita yakin kes pembunuhan tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

“Kini kita dalam usaha melengkapkan kertas siasatan dan mengumpul bahan bukti kes untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu pada Jumaat. 

Menurut Zulkipli lagi, motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada masalah hutang antara saspek dan mangsa. 

Selain itu, polis juga menahan lapan individu yang terdiri daripada dua wanita dan enam lelaki bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian malam Selasa, kira-kira jam 10 malam, polis telah menerima panggilan daripada seorang pengurus sebuah ladang kelapa sawit di Sebauh tentang penemuan seorang pekerja ladang tersebut yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri. 

Mangsa ditemui di dalam sebuah blik rumah pekerja ladang berkenaan. 

Menurut saksi, sekitar jam 8 malam mereka ada terlihat si mati berbual dengan suspek utama sebelum bertindak memecahkan cermin dan reban ayam milik penghuni lain.

Katanya, suspek kemudiannya dilihat mengejar si mati sebelum kedua-dua mereka dilihat masuk semula ke dalam bilik dan tidak lama kemudian suspek dilihat keluar bersendirian dengan sebilah pisau di tangan. 

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63 dan direman sehingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan. -EDISI UKAS