26 Unit Rumah Spektra Permata Lundu Siap dan Sedia Ditawarkan Kepada Pemohon

UKAS  > Edisi-Selatan >  26 Unit Rumah Spektra Permata Lundu Siap dan Sedia Ditawarkan Kepada Pemohon
0 Comments

RABU, 14 JULAI 2021

LUNDU: Sebanyak 26 unit Rumah Spektra Permata (RSP) Lundu telah siap dibina dan sedia untuk diserahkan kepada pemohon yang layak dan lulus pembiayaan.

Projek RSP Lundu telah diserahkan secara rasminya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu kepada 25 orang pemohon yang telah lulus tapisan kelayakan.

Dalam majlis yang diadakan secara hibrid iaitu kehadiran secara maya oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Kuching serta pihak Housing Development Corporation (HDC), Datuk Amar Jamilah telah menyampaikan suurat tawaran secara rasminya kepada 25 individu yang layak.

Dengan jumlah keseluruhan projek RSP Lundu yang bernilai RM5.015 juta ini, beliau berharap ianya dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mampu memiliki rumah sendiri.

“Ilham bagi projek ini juga datangnya dari usaha Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg bagi membantu rakyat kita untuk memiliki kediaman sendiri.

“Projek ini dibina di bawah Skim Pembesaran Kampung serta jenis rumah yang dibina adalah jenis rumah bertiang manakala bagi tujuan pembiayaan RSP, ianya akan dikendalikan oleh Mutiara Mortgage di mana mereka menawarkan kadar yang jauh lebih rendah dari pasaran iaitu hanya 1 peratus sahaja bagi RSP ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Mohamad Asman Ahmad memberitahu, RSP Lundu merupakan projek yang pertama telah siap dan diserahkan kepada pemohon.

Tambah beliau, bagi tujuan pembiayaan, ianya akan diseleraskan mengikut kemampuan masing-masing dan selepas penyerahan tawaran itu semakan pembiayaan akan diproses serta proses cabutan undi akan diadakan.-EDISI UKAS