Datuk Patinggi Abang Zohari Sertai Program Sarawak Bermunajat

UKAS  > Edisi-Utama >  Datuk Patinggi Abang Zohari Sertai Program Sarawak Bermunajat
0 Comments

KHAMIS, 15 JULAI 2021

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyertai program Sarawak Bermunajat Peringkat Negeri pada malam Khamis.

Program yang diadakan di Masjid Jamek Negeri Sarawak itu turut dihadiri oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Hal Ehwal Islam Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.

Program telah dimulakan dengan solat fardhu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan yassin dan doa yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Program tersebut kemudiannya diteruskan dengan tazkirah yang telah disampaikan oleh Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin dan kemudiannya diteruskan dengan solat fardhu Isyak serta solat hajat berjemaah.

Solat berjemaah dilaksanakan mengikut garis panduan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika solat.

Dalam pada itu, program sama turut diadakan serentak di masjid dan surau di seluruh negeri ini secara atas talian.-EDISI UKAS